Ustaz Ahmad Jraiah dah tiada

Ustaz Ahmad Jraiah dah tiada

KUANTAN: Kerajaan Pahang mengucapkan takziah kepada keluarga Ahmad Jraiah Ibrahim, guru agama berbangsa Syria yang meninggal dunia pada usia 62 tahun di Pahang Medical Center (PMC) jam 7.22 pagi tadi.

Ahmad Jraiah banyak berjasa kepada anak Pahang dan sudah 16 tahun menabur bakti sebagai guru agama di tiga sekolah menengah agama negeri (SMAN) di negeri ini iaitu di SMAN Rompin selama tujuh tahun; Sekolah Menengah Agama Al-Khairiah, Temerloh (enam tahun) dan SMAN Tengku Ampuan (tiga tahun)

Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Pahang, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad, berkata kerajaan negeri melalui Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) akan membantu menguruskan semua perkara berkaitan bagi memudahkan keluarga Allahyarham.

Katanya, ia termasuk perkara berkaitan prosedur hospital, jabatan pendaftaran dan Kedutaan Syria di Malaysia.

“Kerajaan negeri amat menghargai jasa dan bakti Allahyarham sepanjang berkhidmat di Pahang dan akan sedaya upaya membantu soal pengurusan jenazah,” katanya.

Allahyarham Ahmad Jraiah sebelum ini empat bulan terlantar di Unit Rawatan Rapi (ICU) Pahang Medical Center (PMC) di sini akibat kanser paru-paru tahap empat.

Khamis lalu, KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berangkat mencemar duli melawat Allahyarham di pusat perubatan itu.

Dalam kunjungannya, Tengku Hassanal Ibrahim turut mengurniakan sumbangan kewangan dan memberikan kata semangat kepada keluarga Ahmad Jraiah supaya tabah berdepan cabaran itu. – HELMY ABD RAHMAN