Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUALA LUMPUR: KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menasihatkan Ahli Dewan Rakyat supaya memberikan keutamaan kepada kemaslahatan rakyat dan kesejahteraan negara pada sesi sidang Parlimen yang kini sedang berlangsung. Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Dato’ Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka Baginda turut menasihati Ali Dewan Rakyat supaya memberikan fokus kepada usaha memerangi pandemik COVID-19 serta membawa kembali sinar kepada rakyat dan negara. Katanya, Seri Paduka Baginda menzahirkan keyakinan bahawa selari dengan kestabilan politik dan peningkatan kada vaksinasi penduduk serta bantuan tambahan oleh kerajaan, proses pemulihan ekonomi negara dapat dipercepatkan.
“Bahkan, Baginda Tuanku bertitah, faktor-faktor berkenaan adalah kunci kepada keyakinan semua pihak yang berkaitan dan pelabur,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini. Ahmad Fadil berkata, Seri Paduka Baginda menyeru seluruh rakyat menzahirkan solidariti dan sokongan padu kepada para petugas barisan harapan dengan berganding bahu berdisiplin mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta semua perintah yang ditetapkan kerajaan. “Seri Paduka Baginda turut menyeru seluruh rakyat agar bertenang dan bersama baginda mendoakan agar negara sentiasa berada di bawah lindungan Allah SWT, dijauhi dari sebarang musibah dan COVID-19 dapat dibendung serta diakhiri dengan segera,” katanya. Sementara itu, beliau berkata, Seri Paduka Baginda menzahirkan rasa syukur dan sukacita dengan pendekatan bersejarah kerjasama rentas parti yang dimeterai melalui Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik di antara kerajaan dan Pakatan Harapan (PH) kelmarin.
Katanya, Seri Paduka Baginda menzahirkan harapan bahawa dengan termeterainya MoU itu kemelut politik dapat diakhiri dengan segera dan Ahli Dewan Rakyat dapat mengetepikan agenda politik dengan bersatu hati serta bersepakat berusaha menangani COVID-19 demi kepentingan rakyat dan negara. “Al-Sultan Abdullah mengulangi pendangan baginda bahawa rakyat tidak wajar dibebankan dengan kemelut politik tidak berkesudahan sewaktu negara bergelut menghadapi isu kesihatan dan kelembapan ekonomi akibat pandemik COVID-19. “Seri Paduka menegaskan bahawa ia juga selaras dengan pendirian Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja Melayu akan pentingnya pembentukan kerajaan yang stabil dan berfungsi dengan cekap serta berhemah dalam keadaan negara menghadapi pelbagai krisis,” katanya.