PEKAN: Orang lama Kampung Lamir berharap kepimpinan yang sentiasa mementingkan kebajikan rakyat dapat diamalkan oleh calon Barisan Nasional (BN) DUN Peramu Jaya, Dato’ Mohd Nizar Najib.
Warga emas Ramlah Mat Kilau, 87, berkata, Mohd Nizar perlu mengikut cara kepimpinan diamalkan oleh ayahnya, Dato’ Sri Najib Razak sepanjang menduduki kerusi Parlimen Pekan.
Menurutnya, dia yakin rakyat akan memberi sokongan kepada Mohd Nizar untuk memikul tanggungjawab sebagai wakil rakyat DUN Peramu Jaya pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) pada 19 November ini.
“Saya bersyukur apabila masih diberi peluang untuk mengundi di Pekan. Sebelum ini, saya mengundi Allahyarham Tun Abdul Razak Hussein sebagai wakil rakyat. Kemudian saya undi Najib. Insya-Allah kali ini saya akan undi Mohd Nizar.
“Saya mendoakan semoga Mohd Nizar meraih kemenangan pada PRU15 kali ini,” katanya selepas menerima kunjungan Mohd Nizar dan rombongan BN di rumahnya, semalam.
Bagi Natrah Mahussin, 67, kerinduan terhadap Najib terubat apabila berpeluang bertemu dengan Mohd Nizar yang begitu mirip wajah ayahnya.
“Saya berharap Mohd Nizar memenangi kerusi DUN Peramu Jaya seterusnya mengikut corak kepimpinan ayahnya,” kata nenek tiga cucu itu. – MOHD IMRAN IZZAD