Utamakan vaksinasi warga ekopelancongan seluruh negara, kata Mohd Sharkar

Utamakan vaksinasi warga ekopelancongan seluruh negara, kata Mohd Sharkar

Oleh Husin Ibrahim

fikrahpahang@gmail.com

TEMERLOH: Kerajaan disaran mengutamakan proses vaksinasi berkelompok di kawasan ekopelancongan di seluruh negara bagi mengurangkan kebarangkalian penularan wabak COVID-19. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar,  Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata ia lebih praktikal.

Ini berikutan, katanya, penduduk di kawasan terbabit secara langsung dengan pelbagai aktiviti pelancongan dan jumlah mereka di satu-satu tempat tidak ramai.  

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar,  Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin

Mohd Sharkar berkata, sebagai contoh Pulau Tioman yang hanya mempunyai dua ribu penduduk tempatan dan jika 80 peratus  daripada jumlah itu menerima vaksin, sudah pasti kawasan itu dapat mencapai imuniti kelompok. 

“Begitu juga di beberapa tempat lain seperti di Bukit Fraser, Kuala Gandah, Genting Highlands, yang masing-masing tidak melebihi seribu penduduk,” katanya. 

Sehingga ini, katanya, Pulau Tioman adalah kawasan ekopelancongan pertama di negara ini yang sudah menerima suntikan vaksin.

“Usaha seperti ini oleh kerajaan negeri adalah persediaan awal untuk menerima kedatangan pelancong,” katanya.

Mohd Sharkar berkata, kerajaan negeri amat bersimpati dengan nasib pengusaha industri pelancongan di Pahang yang terjejas teruk oleh keadaan pendemik COVID-19.

“Oleh itu, kerajaan negeri membelanjakan lebih RM500,000  untuk membantu mereka supaya mereka dapat segera kembali meneruskan usaha untuk memajukan industri ini.

“Bantuan kewangan ini bertujuan membantu mereka meneruskan kelangsungan hidup,” katanya di majlis pemberian sumbangan kepada empat persatuan dan pemain industri pelancongan di Pahang, di sini, semalam. 

Mohd Sharkar berkata, Persatuan Hotel Malaysia Pahang (MAH), Persatuan Hotel Bajet dan Bisnes Malaysia Pahang (MYBHA), Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan (MATTA) dan Persatuan Homestay Negeri Pahang, masing-masing menerima RM20,000. 

Sebelum ini, katanya, 522 pemandu pelancong biasa, pemandu pelancong alam semulajadi, pemandu bot pelancong, masing-masing menerima bantuan RM150 seorang dan barangan keperluan yang keseluruhannya berjumlah RM78,300. 

“Bantuan ‘one-off’ RM600 tunai seorang juga diberikan kepada 450 individu bagi kategori perkhidmatan iaitu daripada Persatuan Pemandu Pelancong Alam Semulajadi di Taman Negara, Persatuan Pemandu Pelancong Negeri Pahang, Persatuan Pemandu Pengusaha Bot Pelancongan Taman Negara dan Persatuan Pengusaha Bot Pelancongan Pulau Tioman,” katanya. 

Selain itu, katanya, 742 pemandu pelancong turut menerima RM100 tunai seorang berserta barangan keperluan harian yang berjumlah RM74,200.