Vaksinasi pelajar 12-17 tahun bermula esok

Vaksinasi pelajar 12-17 tahun bermula esok

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Sembilan Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di daerah ini dibuka untuk vaksinasi COVID-19 bagi pelajar tingkatan empat dan lima, bermula esok hingga 26 September ini.

Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kuantan memaklumkan PPV berkenaan ialah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Lepar Hilir, SMK Sri Mahkota dan SMK Bukit Rangin.

“Selain itu, Sekolah Menengah Sains Sultan Ahmad Shah (SEMSAS), SMK Sungai So, SMK Pelabuhan, Sekolah Menengah Teknik, Wisma Belia dan Dewan Jubli Perak Sultan Ahmad Shah,” katanya menerusi Facebook PKD Kuantan.

Sekurang-kurangnya 173,000 remaja 12 hingga 17 tahun di Pahang akan mula menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19, esok.

Pada 17 September lalu, Fikrah Pahang ada menyiarkan kenyataan YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, yang mengingatkan remaja dan ibu bapa agar mengenai permulaan tarikh vaksinasi. 

Beliau dipetik sebagai berkata, remaja dan ibu bapa diminta memberikan kerjasama untuk menjayakan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) bagi mewujudkan imuniti kelompok di Pahang.

Beliau berkata, seperti disyaratkan, golongan terbabit perlu mengisi borang kebenaran ibu bapa atau penjaga sebelum dibenarkan menerima suntikan.