Oleh Muhammad Izz Zahin
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
Gambar oleh Bernama
KUANTAN: Sekurang-kurangnya 960,126 penduduk atau 81.7 peratus penduduk dewasa sudah di Pahang menerima dos pertama vaksin COVID-19 setakat semalam.
Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus, berkata 691,258 penduduk atau 58.8% populasi dewasa pula sudah lengkap dua dos.
Sehingga ini, katanya, 26,048 penduduk yang sudah berdaftar sedang menunggu untuk menerima dos pertama.
Bagaimanapun, katanya, masih ada 189,626 penduduk atau 16.1 peratus yang masih belum berdaftar.
“Kita mensasarkan 100 peratus penduduk dewasa disuntik sekurang-kurangnya satu dos pada akhir September ini,” katanya menerusi Facebook, hari ini.
Bermula semalam, katanya, program vaksinasi remaja yang mempunyai penyakit sudah bermula di lima hospital di Pahang.
Kataya, lima hospital berkenaan ialah Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HoSHAH) di Temerloh, Hospital Lipis, Hospital Pekan dan Hospital Bentong.
“Bermula 20 September ini, program vaksinasi akan diperluaskan kepada semua pelajar berumur 16 dan 17 tahun. Penyelarasan sedang dibuat bersama Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang,” katanya.