Video polis kompaun langgar SOP raya tidak benar: OCPD Kuantan

Video polis kompaun langgar SOP raya tidak benar: OCPD Kuantan

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

KUANTAN: Polis Kuantan menafikan pihaknya bertindak mengeluarkan kompaun RM25,000 kepada tuan rumah dan RM5,000 terhadap tetamu di sebuah taman perumahan di daerah ini kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) ziarah raya ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), semalam.

  Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, dakwaan itu adalah sama sekali tidak benar.

Video yang tular di aplikasi WhatsApp mendakwa polis mengenakan kompaun RM25,000 kepada pemilik kediaman dan RM5,000 kepada tetamu.

  Beliau sebaliknya berkata, kehadiran anggota polis di taman perumahan pada hari raya pertama itu hanyalah untuk melakukan pemantauan SOP, selain bertanyakan isu membabitkan sekumpulan motosikal.

  “Berita mengenai kompuan yang tular itu tidak benar, video dan gambar mengenai kehadiran anggota polis untuk mendapat maklumat mengenai terdapat kumpulan motorsikal di satu lorong di taman perumahan berkenaan.

  “Bila kita jalankan pemeriksaan didapati ia bukan aktiviti beraya,” katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

  Semalam tular beberapa video pendek berdurasi tujuh saat dalam aplikasi WhatsApp mengenai kehadiran beberapa anggota polis di sebuah taman perumahan di daerah ini.

  Kelibat anggota pasukan keselamatan itu dilihat menjalankan pemeriksaan terhadap kereta dan motosikal yang terdapat di taman perumahan berkenaan.

  Video terbabit menyebabkan warga netizen mendakwa kompaun RM25,000 telah dikeluarkan pihak polis kepada pemilik kediaman berkenaan dan kompuan RM5,000 pula dikenakan terhadap tetamu.

  Mengenai tindakan kompuan melanggar SOP ketika Aidilfitri, beliau menjelaskan setakat ini tiada tindakan kompaun dikeluarkan pihaknya.

  Bagaimanapun jelasnya, pemantauan pematuhan SOP PKP akan dilaksanakan dari semasa ke semasa di seluruh kawasan termasuk taman perumahan.

  “Orang ramai dilihat patuh dan beri kerjasama dan kita turut juga menasihatkan supaya sentiasa mematuhi SOP. Jika tidak perlu untuk bergerak (ke mana-mana lokasi), jangan bergerak,” katanya