Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@gmail.com
KUANTAN: “Kenangan selama sembilan tahun bertugas di Pusat Reintegrasi Penghuni (PRP) Kem Batu 10, di sini, menyimpan banyak kisah yang tidak mungkin dapat dilupakan.
“Berurusan dengan Orang Di Selia (ODS) lelaki yang terbabit dengan pelbagai kesalahan antara pengalaman dilalui,” kata
Sarjan Penjara Rozita Mohd Hashim, 36.
Dia antara 39 wadar Jabatan Penjara Malaysia (JPM) bertugas di PRP Kem Batu 10 yang mula beroperasi pada Jun 2011 dan akan ditutup sepenuhnya bermula 30 Disember ini dan diserahkan semula kepada Angkatan Tentera Malaysia (ATM).
Menurut Rozita, dia dan rakanya Koperal Siti Salwani Muhammad, 33, merupakan dua individu wanita yang diberi tanggungjawab bertugas bersama anggota lelaki menyelia ODS yang menjalani hukuman tahanan dalam tempoh masa tertentu.
Katanya, perasaan sedih dan sayu mula terasa sejak awal tahun ini apabila berita PRP Kem Batu 10 akan ditutup namun sebagai anggota yang menjalakan tugas diamanahkan dia perlu akur serta menerima dengan hati yang terbuka.
“Sebahagian besar kami akan bertugas di PRP Mantin, Negeri Sembilan, yang baharu beroperasi. Di mana juga tempat bertugas tanggungjawab tetap akan digalas dengan sebaik mungkin.
“Saya bersyukur suami, Sarjan Penjara Mohd Zuhaidi Sin, 38, turut sama akan bertugas di PRP Mantin namun dia terlebih dahulu melapor diri pada 23 November lalu,” katanya yang sebelum ini bertugas di Penjara Wanita Tapah, Perak.
Sementara itu Komandan PRP Kem Batu 10 Kuantan, Penolong Penguasa Penjara, Mohd Ranie Zakaria, berkata walaupun sedih apabila terpaksa berpindah di tempat baru namun demi tanggungjawap ia perlu dilalui dengan ikhlas dan profesional.
Katanya, selepas sembilan tahun berkampung di PRP Kem Batu 10 Kuantan, kini tiba masanya kami beralih angin ke lokasi baharu yang tidak banyak perbezaannya.
“Semua 39 wadar di PRP Kem Batu 10 Kuantan akan turut sama berpindah ke PRP Mantin yang saiz serta jumlah penempatan ODS lebih besar sekali ganda berbanding di PRP Kem Batu 10 Kuantan.
“Di PRP Kem Batu 10 Kuantan hanya boleh menempatan seramai 200 ODS yang terbabit dalam bidang pertanian dan pembersihan kawasan. Bagi 400 ODS di PRP Mantin nanti mereka akan terbabit dalam sektor perindustrian,” katanya, di sini.
Beliau menambah, seramai 150 ODS di PRP Kem Batu 10 Kuantan turut akan berpindah ke PRP Mantin. Semua enam PRP yang beroperasi dalam kem tentera di seluruh negara turut akan berpindah secara berperingkat.