KUANTAN: “Pada hari kejadian, saya nampak wajahnya putih dan berseri-seri, tak macam orang ke laut (nelayan),” kata Abdul Mutalib Abdul Rahman, 38, rakan kepada Fadzely Mohamed, 40, yang dikhuatiri lemas selepas bot dinaiki mereka terbalik akibat tersangkut pada tali bot pukat tunda di perairan Karang Tanjung Pelindung di sini, Sabtu lalu.
Abdul Mutalib berkata, dia berasa hairan apabila ternampak perubahan ketara pada wajah mangsa, namun hanya mendiamkan diri.
“Saya perasan sejak pagi kami keluar ke laut sampaikan masa nak balik ke darat, saya tengok muka dia berseri, putih dan tidak seperti biasa. Saya nak tegur (tanya) tapi tak terkeluar.
“Fadzely juga berubah perangai jadi agak ‘manja’ hari itu. Bila jari tersangkut mata kail dia tunjuk pada saya dan banyak lagi dia mengadu… sedangkan sebelum ini kalau sakit atau cedera, dia buat tak tahu saja,” katanya ketika ditemui Fikrah Pahang di Pantai Beserah di sini, hari ini.
Dalam kejadian jam 6.20 petang Sabtu lalu, Fadzely hilang di laut manakala Abdul Mutalib dapat diselamatkan.
Menceritakan kejadian itu, Abdul Mutalib berkata, ketika dalam perjalanan pulang ke darat, bot dikendalinya terlanggar tali pukat tunda yang kemudian terbelit pada kipas bot.
“Saya cuba potong tali itu tapi tak sempat apabila bot tiba-tiba terbalik. Saya kemudian naik atas (belakang) bot manakala Fadzely berpaut pada tali pukat tunda yang jaraknya kira-kira lima meter dari saya.
“Kira-kira setengah jam kemudian, saya nampak keadaanya sudah tidak bermaya. Saya kemudian sekali lagi jatuh ke air apabila bot tersentak dan apabila naik semula, saya dapati Fadzely dah tiada,” katanya yang berpengalaman 12 tahun sebagai nelayan pantai.
Menurutnya, sekitar sejam kemudian, dia ternampak bot nelayan lain melalui lokasi berkenaan dan segera melambaikan tangannya bagi meminta pertolongan.
“Sebaik diselamatkan, kami pergi ke bot pukat tunda itu untuk memberitahu kejadian yang berlaku sebelum kembali ke darat dan saya terus ke balai polis untuk membuat laporan,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN