KUANTAN: Harta bernilai RM2.5 juta untuk membina Masjid Felda Bukit Puchong, Bera antara wakaf terbesar pernah diterima Wakaf Pahang Majlis Ugama Islam Dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).
Pegawai Dakwah dan Pemasaran Wakaf Pahang, Mohd Farid Mohd Ramly berkata, selain wang tunai, turut diwakafkan ialah tanah dan bangunan bagi tujuan pembangunan.
Menurutnya, wakaf duit digunakan untuk membantu bidang pendidikan, keagamaan, kesihatan, ekonomi dan sosial.
Katanya, kini terdapat kira-kira 5, 234 individu tampil untuk berwakaf dengan Wakaf Pahang MUIP dengan nilai RM2.7 juta.
“Kita menjangkakan wakaf akan terus bertambah khususnya apabila kempen berwakaf dan sesi penerangan diadakan sepanjang tahun.
“Bagi wakaf wang tunai ia boleh dilakukan bermula dengan RM5 dan kaedah bayaran boleh digunakan secara tunai di Pejabat Kutipan Zakat Pahang, potongan gaji dan perbankan online,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD