Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: “Macam budak-budak… elok keluar terus, tak payah masuk masuk,” demikian reaksi spontan bekas Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Adnan Yaakob apabila tujuh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP dan seorang daripada PKR bertindak keluar dewan pada persidangan DUN Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Kelapan-lapan ADUN berkenaan mengambil tindakan itu sebaik DUN meluluskan usul untuk meminda Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang bagi melantik lima ADUN tanpa melalui proses pilihan raya.
Adnan berkata, kelulusan itu wajar bagi membolehkan kerajaan negeri melantik seorang wakil profesional daripada golongan minoriti atau yang tidak memenangi pilihan raya ke dalam DUN untuk membawa permasalahan masyarakat mereka ke dalam dewan.
“Tapi elok juga mereka keluar, senang kita nak luluskan. ‘It’s a blessing in disguise’ (rahmat yang tersembunyi),” tambahnya.
Terdahulu, cadangan berkenaan dibawa Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menerusi Enakmen Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang (Bahagian Kedua) (Pindaan) 2020.
Mengikut cadangan itu, jumlah yang dicadangkan tidak lebih lima orang, menjadikan keseluruhan ADUN tidak lebih 47 orang termasuk 42 yang sedia ada dan dipilih melalui proses pilihan raya.
“Pertambahan ADUN dilantik ini boleh mengurangkan nisbah seorang ADUN dengan jumlah penduduk, kerana kita adalah negeri besar. Ini adalah untuk saling melengkapi dan bukan pertindihan kepada perkhidmatan ADUN sedia ada.
“Lantikan ini juga tidak bersifat politiking, sebaliknya berorientasikan rakyat dan kita nampak peluang mereka untuk berkhidmat,” katanya.
Beliau berkata, pindaan yang dicadang bagi pelantikan itu bukanlah sesuatu luar biasa kerana ia terlebih dahulu dipraktikkan kerajaan Sabah dan Terengganu.