‘Walk the talk’ pedoman dan pegangan saya, titah Pemangku Raja Pahang

‘Walk the talk’ pedoman dan pegangan saya, titah Pemangku Raja Pahang

PEKAN: “Saya akan turun padang secara mengejut untuk meninjau sendiri, ambil peduli dan membantu rakyat sedaya mungkin,” titah KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Baginda bertitah demikian pada Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang Sempena Memuliakan Ulang Tahun Keputeraan Ke-63 Sultan Pahang di Balairung Seri Istana Abu Bakar, di sini hari ini.

Tengku Hassanal bertitah, baginda akan meneruskan ziarah kasih dari kampung ke kampung di seluruh negeri ini, tanpa mengira sama ada ia perkampungan Orang Asli, Melayu, Cina mahupun India.

“Saya tak ingin sama sekali melihat dan diberitahu (terdapat) jalan berlubang baru hendak dibaiki, atap bocor baru hendak ditampal, kesan lumpur banjir pada dinding baru hendak dicuci dan dicat, mahupun bantuan fakir miskin baru nak sampai sehari sebelum ketibaan saya.

“Ingatlah, segala bantuan harus sampai segera kepada rakyat tanpa birokrasi yang rumit,” titahnya.

Baginda bertitah, ziarah kasih dari sekolah ke sekolah di Pahang juga akan diteruskan.

“Sama ada sekoah kebangsaan, jenis kebangsaan Cina dan Tamil, mahupun sekolah Orang Asli akan diziarahi kerana sekolah adalah tempat melahirkan anak bangsa cemerlang, tempat berseronok sambil mencari ilmu dan tempat berkawan serta memupuk perpaduan.

“Saya ambil peduli dan akan emmbantu rakyat sedaya mungkin. ‘Walk the talk’ (bukan cakap kosong) adalah pedoman dan pegangan saya,” titah baginda. – HELMY ABD RAHMAN