Wan Rosdy kekal MB Pahang

Wan Rosdy kekal MB Pahang

KUANTAN: KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah memperkenankan pelantikan Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai YAB Menteri Besar Pahang.

Baginda juga memperkenankan pembentukan Kerajaan Pahang daripada gabungan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH).

Pengelola Bijaya Diraja KDYMM Sultan Pahang, Dato’ Ahmad Khirrizal Ab Rahman, berkata Majlis Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan YAB Menteri Besar akan diadakan pada Isnin, 28 November 2022 (esok) bersamaan 3 Jamadilawal 1444H, Jam 11 pagi, bertempat di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, Pekan.

“Berdasarkan kuasa yang diperuntukkan kepada Raja Pemerintah sebagaimana yang dinyatakan dalam Bahagian II, Perkara 3(1) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Pahang, KDYMM Pemangku Raja Pahang  berkenan  melantik Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail sebagai YAB Menteri Besar Pahang,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, Tengku Hassanal Ibrahim sebelum ini berkenan menerima menghadap dan mendengar cadangan, usul serta hasrat pimpinan parti politik yang terbabit susulan keputusan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang. – HELMY ABD RAHMAN