KUANTAN: YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail, mengambil tanggungjawab memegang lapan portfolio dalam pentadbiran kerajaan negeri.
Perkara itu diumumkannya pada sidang media mengumumkan portfolio 10 EXCO Kerajaan Pahang di Wisma Sri Pahang, di sini, hari ini.
Selain menggalas tugas sebagai Menteri Besar, Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai menggalas portfolio Perancangan, Kewangan, Tanah, Sumber Asli, Tenaga dan Air; Pembangunan Ekonomi, Perladangan dan Komoditi.
Dato’ Sri Mohd Soffi Abd Razak (Benta) yang juga EXCO kanan kerajaan negeri, memegang portfolio Pertanian, Industri Asas Tani, Bioteknologi dan Pendidikan.
Seorang lagi EXCO kanan, Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad (Kerdau) menjaga portfolio Hal Ehwal Agama Islam, Pembangunan Luar Bandar dan Hal Ehwal Orang Asli.
Dato’ Mohammad Fakhruddin Mohd Ariff pula diberi tanggungjawab memegang portfolio Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan.
Dato’ Mohd Nizar Najib (Peramu Jaya) yang juga anak kepada bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Najib Razak, diberi tanggungjawab memegang portfolio Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi dan Inovasi.
Portfolio Hal Ehwal FELDA, Koperasi dan Usahawan pula dipegang Ir Razali Kassim (Muadzam Shah) manakala Dato’ Sri Johari Harun (Pelangai) pula memegang portfolio Kerajaan Tempatan, Perumahan, Alam Sekitar dan Teknologi Hijau.
Dato’ Sabariah Saidan (Guai) memegang portfolio Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Fadzli Mohd Kamal (Dong) pula memegang portfolio Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
Dua ADUN Pakatan Harapan (PH) yang turut dilantik sebagai EXCO iaitu Sim Choon Siang (Teruntum) memegang portfolio Hal Ehwal Pengguna dan Sumber Manusia, manakala Leong Yu Man (Triang) memegang portfolio Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan.
Sementara itu, Wan Rosdy dalam sidang media selepas pengumuman itu, mengingatkan setiap EXCO terutama yang baru, supaya segera menyesuaikan diri dengan tugasan dan tanggung jawab masing-masing.
“Laksanakanlah segala tugas yang diberikan dengan penuh rasa tanggungjawab dan amanah untuk menjadikan Pahang sebuah negeri maju dapat dicapai,” katanya.
Wan Rosdy turut meminta rakyat Pahang memberi peluang dan kepercayaan kepada kerajaan Pahang yang baru dibentuk ini demi kestabilan dan kemakmuran negeri.
“Sudah sampai ketikanya untuk kita buka lembaran baharu ke arah politik matang serta meraikan perbezaan antara kita dalam suasana kepelbagaian kaum dan agama,” tambahnya. – HELMY ABD RAHMAN DAN KHALEEF FITRI