Kuantan: 19 March 2023 YAB Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail yang baharu dipilih mengisi jawatan Naib Presiden UMNO sesi 2023-2026 bersedia menjalankan tanggungjawab lebih besar dalam usaha membina kembali kekuatan Umno.
Beliau yang juga Menteri Besar Pahang Pahang ke 14 sejak Mei 2018 yakin dengan berbekalkan pengalaman mentadbir kerajaan dan juga parti dapat membantu Presiden, Timbalan Presiden serta seluruh kepimpinan kembali bangkit dan kekal relevan mengembalikan sokongan rakyat kepada UMNO terutamanya bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-16 nanti.
“Saya berharap seluruh ahli Umno terus istiqamah, menggembleng tenaga dan bekerjasama bagi memastikan perjuangan parti dapat diteruskan demi agama, bangsa dan tanah air, kekalahan Umno pada PRU-15 menuntut seluruh ahli untuk rapatkan semula saf perjuangan, perkukuhkan kembali persaudaraan serta berikan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada parti agar Umno mampu bangkit menjadi sebuah parti yang kuat,” katanya menerusi kenyataan di Facebook rasminya hari ini
Mengulas pengesahan dipilih sebagai Naib Presiden Umno yang baharu, beliau bersyukur dan berterima kasih kepada semua perwakilan yang memberi sokongan dan kepercayaan kepadanya untuk mengisi jawatan tersebut.
“Sudah pastinya kejayaan ini tidak dapat dicapai tanpa bantuan semua pihak terutama jentera kempen saya yang berhempas pulas sepanjang tempoh dua minggu ini, tanpa bantuan mereka tidak mungkin saya berupaya untuk mencapai kemenangan penuh bermakna ini.”katanya
Oleh : KABHI ISMAIL