PEKAN: Pemilihan EXCO kerajaan negeri masih belum dimuktamadkan, kata YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau bagaimanapun memberikan bayangan akan ada EXCO yang dipilih daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pakatan Harapan (PH).
“Kita masih lagi berbincang (mengenai pelantikan EXCO kerajaan negeri) dan cuba (selesaikan) dalam masa terdekat, namun belum dimuktamadkan lagi,” katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Daerah, Pejabat Daerah dan Tanah Pekan di sini, hari ini.
Sidang media itu diadakan selepas Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan YAB Menter Besar Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar di sini, hari ini.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, Barisan Nasional (BN) Pahang mengenal pasti dan mempertimbangkan tiga perkara utama untuk membentuk kerajaan negeri.
“Pertamanya, BN Pahang berpendirian kerjasama antara blok adalah satu pendekatan baharu yang mesti menjadi pilihan, sekali gus membuktikan keterbukaan bekerjasama dengan mana-mana blok sama ada PH atau PN (Perikatan Nasional), demi kebaikan rakyat.
“Kedua, BN Pahang mendapati sebarang pilihan kerjasama mestilah dilakukan dengan mengambil kira keupayaan gabungan bagi membawa kestabilan kepada kerajaan negeri dan kesejahteraan rakyat dan pada masa sama, kombinasi kerajaan negeri haruslah mencerminkan kemajmukan dan kepelbagaian yang menjadi kekuatan Pahang.
“Ketiga, kita percaya bahawa pembentukan kerajaan negeri baharu ini perlu selari dengan kerajaan perpaduan yang dibentuk di peringkat Persekutuan. Ini bagi memastikan pentadbiran serta segala perancangan yang dibuat demi pembangunan negeri ini dapat diteruskan dan berjalan dengan lancar,” jelasnya.
Tambahnya, kerajaan negeri yang baru akan diibentuk sebaik mungkin bagi memastikan Belanjawan Pahang 2023 yang sudah diluluskan di DUN Pahang pada penggal yang lalu, dapat dilaksanakan dengan cemerlang.
“Buat masa ini, fokus utama kerajaan negeri adalah untuk memacu pertumbuhan ekonomi negeri ke arah yang lebih baik dan positif,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN DAN HUSIN IBRAHIM