Wan Rosdy ucap tahniah kepada PM10

Wan Rosdy ucap tahniah kepada PM10

KUANTAN: YAB Pengerusi Barisan Nasional (BN) Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri ke-10.

Menerusi hantaran di laman Facebook rasminya hari ini, Wan Rosdy turut menjunjung kasih atas kebijaksanaan KDYMM Seri Paduka Baginda Yang diPertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menangani kemelut politik negara.

“Saya menzahirkan setinggi ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas pelantikan sebagai Perdana Menteri ke-10.

“Menjunjung kasih kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas perkenan dan kebijaksanaan menyelesaikan kemelut politik negara ini,” katanya, hari ini.

Semalam, Anwar mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri baharu di Balai Singgahsana Kecil, Istana Negara di ibu negara.

Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Istiadat Mengangkat Sumpah Jawatan dan Setia Serta Sumpah Simpan Rahsia itu, disempurnakan di hadapan Al-Sultan Abdullah  dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah. – HELMY ABD RAHMAN