KUANTAN: Sekurang-kurangnya 3,096 murid dan pelajar di daerah ini menerima duit raya, hari ini.
Imam Besar Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, Dato’ Badli Shah Alauddin berkata, setiap murid dari 75 sekolah rendah dan dan pelajar dari 48 sekolah menengah, masing-masing menerima RM100.
Katanya, bantuan RM309,600 untuk tujuan itu diperoleh daripada tabung khas iaitu Tabung Bantuan Kepada Golongan Memerlukan.
“Alhamdulillah, 100 peratus sumbangan itu adalah daripada jemaah Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, yang dikutip pada awal tahun ini dan sepanjang Ramadan ini,” katanya pada majlis ringkas penyerahan sumbangan itu kepada Timbalan Pengarah Sektor Pengurusan Sekolah Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP), Mohd Azmi Othman.
Imam berkata, pihak masjid amat berterima kasih kepada jemaah di atas keprihatinan dalam menghulurkan sumbangan sekali gus membantu golongan yang memerlukan. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN