Wanita dipenjara selepas ditipu lelaki ‘setan’

Wanita dipenjara selepas ditipu lelaki ‘setan’

Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Gambar Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: “Disebabkan terlalu percayakan kata manis kekasih, saya meringkuk lebih dua tahun dalam penjara selepas disabitkan kesalahan bersubahat.

“Malah, sebanyak RM60,000 wang ibu angkat saya dalam bank dilarikan lelaki itu,” kata Ema (bukan nama sebenar). 

Wanita berusia 34 tahun itu berkata, dia seolah-olah dipukau apabila mengikut sahaja kehendak bekas kekasihnya itu termasuk menyerahkan dua kad bank beserta nombor pin milik ibu angkatnya hingga membolehkan lelaki terbabit mengeluarkan wang dalam masa beberapa hari sahaja.

KUANTAN ..Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman bertemu Ema (bukan nama sebenar) selepas menyampaikan bantuan kewangan.

“Rayuannya melemahkan saya hingga bertindak menyerahkan dua kad bank ibu angkat tanpa berfikir panjang.

“Lelaki itu membuat pengeluaran lebih daripada 10 kali sehari menggunakan kad, tapi saya tak pasti cara apa yang digunakan membolehkannya berbuat demikian,” katanya yang ditemui selepas menerima bantuan daripada Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP).

Bantuan disampaikan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Baitulmal dan Operasi) MUIP, Dr Asmadi Abdul Rahman.

Mengulas lanjut, Ema berkata, episod malang itu menyebabkan dia dikenakan hukuman penjara dua tahun tiga bulan sekali gus menjadi detik hitam dalam hidupnya apabila ditempatkan di penjara Bentong.

“Terlalu banyak kenangan pahit dilalui sepanjang bergelar banduan. Tekanan dihadapi menyebabkan tahap kesihatan saya merosot dan berat badan juga menurun.

“Lebih parah apabila kesan penyakit kanser yang dihidapi sebelum ini menyebabkan saya menjadi lumpuh daripada paras pinggang ke bawah. Penderitaan berat terpaksa ditanggung sendirian dalam penjara,” katanya.

Ema yang dibebaskan daripada penjara kelmarin berkata, pergerakannya di dalam penjara begitu terhad apabila tidak mampu berjalan dengan sempurna dan hanya mengharapkan bantuan rakan yang prihatin bagi meringankan kesukaran dihadapinya.

Katanya, setiap hari selepas solat dan membaca al-Quran, dia berdoa sambil menangis semoga diberi kesumbuhan.

“Alhamdulillah, rintihan kepada Yang Maha Esa dimakbulkan tanpa disangka-sangka. Saya bersyukur anggota badan saya yang sebelum ini lemah kembali normal, dalam tempoh beberapa bulan tahap kesihatan kembali beransur pulih walaupun tidak mencapai 100 peratus.

“Saya akan memulakan hidup baharu selepas dibebaskan daripada penjara kelmarin. Segulung diploma yang dimiliki akan digunakan untuk meneruskan kehidupan dengan sokongan saudara terdekat,” katanya.

Sementara itu Asmadi berkata, selain menyediakan bantuan wang tunai, pihaknya menyediakan tempat tinggal sementara kepada Ema yang kini kehilangan tempat bergantung selepas menjalani hukuman penjara lebih dua tahun.

Menurutnya, usaha membantu golongan bekas banduan sudah lama dilakukan MUIP yang turut menyediakan elaun khas kepada mereka untuk meneruskan kehidupan tanpa mengenepikan didikan agama.

“MUIP bertanggungjawab membela nasib wanita berkenaan untuk memulakan kehidupan baharu. Sejarah hitam dilalui diharapkan menjadi pengajaran kepadanya supaya lebih berhati-hati pada masa depan,” katanya.