Wanita rugi RM12,600 selepas diperdaya polis palsu

Wanita rugi RM12,600 selepas diperdaya polis palsu

Oleh Fath Ahnaf

fikrahpaang@fikrahpahang.com.my

KUANTAN: Wanita rugi RM12,600 apabila menjadi mangsa sindiket penipuan yang menggunakan helah dirinya mempunyai tunggakan cukai di samping terbabit dengan jenayah. 

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Pahang, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof, berkata sebelum kejadian, wanita terbabit menerima satu panggilan telefon kononnya daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), pada 29 Jun lalu.

“Suspek mengatakan mangsa mempunyai cukai tertunggak membabitkan satu perniagaan. Namun, mangsa menegaskan dia tidak tahu mengenai perkara itu,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Katanya, kemudian mangsa diminta bercakap dengan dua individu yang memperkenalkan diri sebagai pegawai LHDN daripada Cyberjaya dan anggota polis Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang.

“Mangsa diberitahu bahawa maklumat dirinya disalahgunakan pihak lain sehingga terkait dengan kes jenayah.

“Pada 5 Julai lalu, mangsa menerima pesanan Whatsapp memperkenalkan diri sebagai polis daripada IPK Pahang. Mangsa diminta memasukkan sejumlah wang ke dalam akaun yang diberikan untuk menyelesaikan masalah terbabit.

“Mangsa membuat pemindahan wang di bank berjumlah RM12,600 ke akaun berkenaan pada hari sama,” katanya.

Mohd. Wazir berkata, mangsa menyedari ditipu kemudian tampil membuat laporan polis  berhubung kejadian itu dan kes berkenaan masih disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.