Warga asing ceroboh hutan simpan untuk tanam sayur

Warga asing ceroboh hutan simpan untuk tanam sayur

CAMERON HIGHLANDS: Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands mengesan kegiatan menceroboh lebih 0.25 hektar Hutan Simpan Batu Gangan, di sini, untuk aktiviti pertanian.

Pegawai PHD Cameron Highlands, Arifhadi Johari Affandi berkata, kawasan itu penuh dengan lobak putih dan dipercayai dilakukan beberapa individu.

Katanya, aktiviti pertanian di kawasan terbabit masih baharu dilakukan berdasarkan saiz pokok lobak putih yang masih kecil.

“Kita tidak menemui individu di kawasan itu dan kegiatan dipercayai dilakukan warga asing. Kita percaya mereka sudah tahun lebih awal kehadiran kakitangan PHD Cameron Highlands.

“Kawasan itu terletak dekat kawasan pertanian milik tanah kerajaan yang diusahakan dengan pelbagai jenis tanaman sayur,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berkata, usaha memulihkan kawasan segera dilakukan dengan menanam lebih 120 pokok spesies gerok oleh 50 peserta program seminar penilaian ekonomi dan bayaran perkhidmatan ekosistem Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM).

Arifhadi Johari berkata, program pemulihan hutan dan aktiviti menanam semula pokok di kawasan ceroboh di Cameron Highlands dilakukan oleh Pejabat Pembangunan Hutan Pahang Barat dengan kerjasama PHD Cameron Highlands.

Beliau berkata, aktiviti menanam semula kawasan ceroboh di daerah dilakukan secara berterusan sejak beberapa tahun lalu, antara kawasan ceroboh terbesar ialah Hutan Simpan Kekal (HSK) Sungai Ichat membabitkan kawasan seluas 121 hektar.

“Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) menanam secara berperingkat beberapa spesies pokok seperti Damar Minyak, Meranti Rambai Daun dan Merawan Siput Jantan. Kini kejayaan program penghijauan semula telah dapat dilihat.

“Program menghijaukan semula kawasan ceroboh perlu dilakukan bagi memastikan kawasan berkenaan terus terpelihara, seterusnya mengelak berlaku banjir lumpur dan hakisan,” katanya.- MOHD IMRAN IZZAD.