Warga asing pesakit mental cetus kluster baharu

Warga asing pesakit mental cetus kluster baharu

Fath Ahnaf

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my

Gambar hiasan

KUANTAN: Seorang pesakit mental yang juga warga asing menyebabkan tercetusnya satu kluster baharu di Lipis dikenali sebagai kluster 3A merujuk tempat penularan kluster berkenaan.

Pengarah Kesihatan Pahang, Dato’ Dr Bahari Tok Muda Che Awang Ngah berkata, kluster terbabit mula dilaporkan pada 5 Julai lalu di daerah berkenaan dan setakat ini 16 orang disahkan positif COVID-19 dalam kluster itu.

“Kes indeks adalah warga asing yang ditangkap pada 26 Jun lalu dan dirujuk ke Hospital Lipis untuk rawatan mental.

“Pengesanan saringan kontak rapat telah dijalankan dan seramai 153 individu disaring dalam kluster ini yang mana 16 orang didapati positif COVID-19,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, sebanyak 214 kes baharu dilaporkan di Pahang hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan kes disahkan positif COVID-19 di negeri ini mencecah ke angka 15,601 kes.

“Berdasarkan jumlah kes baharu yang didaftarkan hari ini, sebanyak 166 kes membabitkan rakyat tempatan manakala 48 kes lagi warga asing,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Bahari berkata, terdapat empat kes kematian baharu dilaporkan di Pahang hari ini, menjadikan jumlah kumulatif kematian di negeri ini meningkat kepada 160 kes.

“Kes kematian terbabit merujuk kepada kes ke 157, 158, 159 dan 160 membabitkan individu berusia antara 55 hingga 67 tahun,” katanya.

Tambahnya, Kuantan terus mencatatkan pertambahan kes baharu paling tinggi iaitu sebanyak 142 kes hari ini, diikuti Bentong (32 kes), Bera (22 kes), Temerloh (lima kes), Lipis (empat kes), Rompin (tiga kes), Pekan dan Cameron Highlands masing-masing dua kes manakala Jerantut dan Maran masing-masing satu kes.