Warga Bera dah ada hospital sendiri 

Warga Bera dah ada hospital sendiri 

BERA: Hospital Bera yang berkeupayaan memberi perkhidmatan kepada 150,000 penduduk Bera dan sekitarnya mula beroperasi, hari ini, selepas pembinaannya tertangguh berikutan kegagalan kontraktor menyiapkan kerja dalam tempoh sepatutnya. 

YAB Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, berkata kompleks hospital bernilai RM92.5 juta itu diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Kesembilan dan warga Bera perlu menunggu kira-kira 10 tahun melihat hasilnya. 

“Saya membuat lawatan untuk memantau kemajuan kerja pada Oktober 2021 dan hospital itu sudah 98 peratus siap. Hospital yang mula dibina pada 2010 akhirnya siap dan dibuka pada Julai lalu. Saya rasa paling lama (tempoh bekerja) penyempurnaan di dunia.

“Dibina atas kawasan 13 hektar, Hospital Bera berupaya memberi perkhidmatan kepada lebih 150,000 penduduk di Bera dan kawasan berhampiran. 

“Sebelum ini, penduduk di Bera terpaksa melakukan perjalanan di antara 32 kilometer (km) dan hingga 52km ke hospital terdekat, termasuk Temerloh( Hospital Sultan Haji Ahmad Shah) dan Hospital Jempol (Negeri Sembilan),” katanya berucap merasmikan Hospital Bera, di sini.

Turut hadir YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Mohd Harun. 

Dalam ucapannya, Ismail Sabri turut memberi penghormatan kepada Almarhum Paduka Ayahanda Sultan Pahang, Sultan Ahmad Shah, kerana baginda adalah individu yang bertanggungjawab merealisasikan pembinaan Hospital Bera.

“Sebagai Ahli Parlimen Bera, saya ada maklumkan kepada Tuanku bahawa ramai anak Bera yang tinggal berhampiran sempadan Pahang-Negeri Sembilan, termasuk Orang Asli di Pos Iskandar dilahirkan di Negeri Sembilan kerana terdapat hospital dekat Jempol manakala Hospital Temerloh pula terletak kira-kira dua jam perjalanan.

 “Tuanku bertitah ini tidak boleh berlaku kerana mereka adalah rakyat baginda dan keadaannya sama seperti di Cameron Highlands (sebelum Hospital Sultanah Hajjah Kalsom dibina) di mana rakyat pernah ke Tapah dan Ipoh untuk bersalin. 

“Tuanku kemudian bertitah bahawa baginda akan menyelesaikan perkara itu. Tidak sampai dua bulan kemudian, baginda menelefon saya mengatakan telah berjumpa dengan Menteri Kesihatan ketika itu (Tan Sri) Chua Soi Lek yang bersetuju untuk membina Hospital Bera,” katanya. 

Beliau berkata, pembukaan Hospital Bera adalah bukti kesungguhan dan komitmen kerajaan dalam membangunkan dan menyediakan kemudahan kesihatan untuk ‘Keluarga Malaysia’ untuk menikmati kesihatan yang baik dan perkhidmatan yang berkualiti.