Oleh Mohd Imran Izzad
fikrahpahang@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Hanya peniaga yang berdaftar untuk menerima vaksin Covid-19 menggunakan dan aplikasi MySejahtera dibenarkan berniaga di Pasar Tani Pusat Transformasi Bandar (UTC) Kuantan.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Pahang, Dato’ Abd Rahim Muda, berkata syarat itu perlu dipatuhi semua peniaga yang berdaftar dengan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
Katanya, pengunjung pasar tani juga perlu sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) membabitkan jarak, pemakaian pelitup muka dan jumlah pelanggan di gerai jualan pada satu-satu masa.
“Hanya pasar tani UTC Kuantan dibenarkan beroperasi setiap Sabtu manakala beberapa pasar tani lain belum boleh dibenarkan beroperasi,” katanya.
Beliau berkata demikian pada program lawatan ke pasar tani UTC Kuantan pada hari pertama beroperasi selepas tiga bulan ditutup disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0, di sini, hari ini.
Hadir sama Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuantan (MBK), Dato’ Hamdan Hussin dan Timbalan Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), Abdul Rashid Bahri.