KUANTAN: Pahang kini bersedia sepenuhnya untuk menerima kedatangan pelancong, sekali gus memulihkan kembali industri pelancongan di negeri ini yang terjejas teruk akibat Covid-19.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Pahang, Dato’ Sri Mohd Sharkar Shamsudin, berkata kerana itu Kerajaan Pahang tidak berlengah untuk mempromosikan industri pelancongan di negeri ini sebaik sahaja Kerajaan Pusat mengumumkan pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4 di Pahang.
“Saya nak maklumkan, sebelum Covid-19 (melanda negara) pada 2019, kehadiran pelancong di Pahang adalah seramai 13.9 juta orang yang membawa pulangan daripada industri pelancongan sebanyak RM15 bilion.
“Kita antara negeri yang mempunyai kehadiran pelancongan yang tinggi, keran aitulah kita berasakan industri pelancongan ini amat penting, jadi apabila ada ruang, kita mesti beritahu kepada semua pelancong dan rakyat Malaysia bahawa ‘we are ready to be visited’ atau kita bersedia untuk dilawati,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam ucaptama pada Anugerah Penghargaan Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Pahang di sini, hari ini.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Pahang, Dato’ Sri Shahaniza Shamsuddin dan Timbalan Pengerusi Tourism Pahang, Dato’ Sri Sh Mohmed Puzi Sh Ali.
Mengulas lanjut, Mohd Sharkar berkata, kerajaan negeri juga amat menghargai jasa dan peranan penggiat industri pelancongan yang sentiasa komited mempromosi dan merancakkan industri berkenaan di negeri ini.
“Mengikut kaji selidik oleh Tourism Malaysia, Pahang adalah antara negeri pilihan utama untuk dilawati pelancong domestik dan kita menyedari ia antara lain dibantu oleh usaha dilakukan penggiat industri pelancongan sehingga berkembang di Pahang ini.
“Sebab itu kita raikan mereka dengan anugerah ini yang sudah tertangguh dan dirancang sejak sebelum pandemik Covid-19 lagi,” katanya. – HELMY ABD RAHMAN