KUANTAN: Anih Berhad menjangkakan kira-kira 160,000 kenderaan akan menggunakan Lebuhraya Lebuhraya Kuala Lumpur–Karak (KLK) manakala 60,000 kenderaan di Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1) berikutan cuti Wesak, minggu ini.
Pengurus Besar Kanan Anih Berhad, Radzimah Mohd Radzi, berkata pihaknya mengandaikan ramai warga kota akan mengambil peluang pulang ke kampung berikutan suasana Aidilfitri masih terasa.
“Oleh itu, kami mengingatkan pengguna lebuh raya untuk memandu dengan berhemah, cermat, sabar untuk keselesaan dan keselamatan semua,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Radzimah berkata, pihaknya mencadangkan mereka yang mahukan keselesaan memandu agar memulakan perjalanan sebelum kira-kira 9 pagi esok.
“Ini disebabkan keadaan trafik di KLK sentiasa menunjukkan peningkatan setiap hujung minggu sejak negara beralih ke fasa endemik,” katanya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN