Wokmer moh kita tangkap ikan di Kuala Wau

Wokmer moh kita tangkap ikan di Kuala Wau

MARAN: Lebih seribu peserta dijangka menyertai Pesta Menjala Ikan Air Tawar Memburu Si Baduk di Estet Ikan Paya Wau, Kampung Kuala Wau, di sini, Sabtu ini.

Program kali pertama diadakan itu anjuran Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Wau dengan kerjasama Jabatan Perikanan Negeri Pahang. 

Pengerusi JPKK Kampung Kuala Wau, Mohd Zurin Md Jais berkata, penganjur menyediakan motosikal sebagai hadiah bagi kategori ikan terberat.

Menurutnya, terdapat lebih 15 spesies ikan air tawar dalam Estet Ikan Paya Wau seluas lebih 28 hektar, antaranya lampam, kap rumput, jelawat, kerai, rohu, patin, temalian, haruan dan toman.

“Kita berharap program ini akan mendapat sambutan hangat. Sambil bercuti peserta pasti terhibur dengan aktiviti menjala secara beramai-ramai.

“Yuran penyertaan RM70 bagi satu jala, hasil yuran bagi mengisi tabung JPKK Kampung Kuala Wau selain turut diagihkan kepada 40 pemilik petak sawah,” katanya. – MOHD IMRAN IZZAD