KUANTAN: Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP) menyokong penuh cadangan untuk melantik warden tetap bagi sekolah berasrama.
Presidennya, Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid, berkata langkah itu boleh mengekang atau mengurangkan kes buli daripada terus berlaku pada masa akan datang.
Katanya, berdasarkan laporan media mengenai pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan tiga kes buli yang berlaku di tiga sekolah berasrama di negeri ini dalam tempoh hanya empat hari, MBNP percaya banyak lagi kes tidak dilaporkan.
“MBNP menyokong penuh cadangan Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) supaya diwujudkan jawatan warden tetap bagi sekolah berasrama.
“Buat masa ini, warden asrama terdiri daripada guru sekolah berkenaan yang pastinya terbeban dengan tugasan hakiki dan tugasan sebagai warden dengan elaun sebanyak RM240 sahaja.
“Dengan adanya warden tetap, pastinya dapat memantau dengan lebih baik kelakuan dan disiplin pelajar di asrama,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Menurutnya, MBNP melihat isu berkenaan satu isu besar yang harus ditangani segera.
“Kes buli bukan boleh dipandang ringan… sesetengah mangsa buli mengalami trauma hingga mengganggu kesihatan mental mereka hingga dewasa.
“Kerana itu, Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) harus mencari jalan segera bagaimana kes berkenaan berlaku dan apa langkah yang akan dilaksanakan jabatan,” katanya. HELMY ABD RAHMAN