Yahoo…0.6 peratus je lagi nak rentas negeri

Yahoo…0.6 peratus je lagi nak rentas negeri

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Hanya 0.6 peratus lagi diperlukan untuk mencapai tuntutan vaksinasi penuh 90 peratus penduduk dewasa sebelum kelonggaran merentas negeri dibenarkan.

Menurut Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID (JKJAV), data vaksinasi golongan dewasa menunjukkan 89.4 peratus atau  20,927,867 individu sudah lengkap divaksinasi.

Sekurang-kurangnya 94.7 peratus atau 22,166,911 individu bagi populasi dewasa sudah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Sementara itu, menerusi portal BH Online, hari ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, dipetik sebagai berkata, kadar vaksinasi 90 peratus dalam kalangan rakyat dewasa di negara ini dirasakan selamat untuk diberi kebenaran merentas negeri.

“Selagi rakyat mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat, kita mampu membendung penularan wabak pandemik Covid-19.

“Memang secara keseluruhannya populasi vaksinasi lengkap rakyat adalah 65 peratus, namun sebahagian besar remaja pun sudah lengkap dua dos vaksin dan ini akan dapat meningkatkan lagi populasi kepada 70 peratus.

“Jika kita tidak bagi rentas negeri, ini akan menimbulkan pelbagai masalah dari segi tekanan mental dan emosi kerana ada kalangan kita yang sudah setahun tak dapat jumpa ibu bapa serta ahli keluarga.

“Sebab itu, kita letakkan paras 90 peratus untuk dewasa kerana ini adalah paras yang selesa untuk benarkan rentas negeri,” kata Khairy Jamaluddin