Yang dah ‘corner baring’ tu, moh sokong semula presiden

Yang dah ‘corner baring’ tu, moh sokong semula presiden

KUALA LUMPUR: “Jadi saya harap semua sahabat-sahabat yang dah ‘corner baring’ tu harap balik semulalah,” kata Ketua UMNO Bahagian Wangsa Maju, Datuk Seri Mohd Shafie Abdullah.

Beliau berkata demikian mewakili Ketua UMNO bahagian seluruh Malaysia yang menyatakan solidariti menyokong Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi untuk terus menerajui parti itu.

ANTARA Ketua Bahagian UMNO yang menyatakan sokongan padu kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Dalam pertemuan itu, seramai 90 daripada 130 ketua UMNO bahagian hadir mengadakan pertemuan bersama Ahmad Zahid di Pusat Dagangan Kuala Lumpur (WTC).

“Mana-mana ketua bahagian yang masih rasa bimbang, syak wasangka, masih fikir macam-macam, silalah kembali untuk kita bersatu.

 “Sahabat-sahabat (ketua bahagian) yang dah ‘corner baring’ tu harap balik semulalah… kita berlapang dada supaya UMNO kembali padu bersatu, kita hanya menang 30 kerusi, kalau tidak bersatu, malanglah kita pada masa depan,” katanya pada sidang media yang disiarkan secara langsung menerusi laman Facebook UMNO Online, hari ini.

Kelihatan hadir, YAB Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pahang, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail; Pengerusi Perhubungan UMNO Perak yang juga Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad dan Pengerusi Perhubungan UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata, beliau dan seluruh ketua UMNO bahagian kesal atas kebiadaban pemimpin parti komponen MCA, MIC dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) yang mendesak Ahmad Zahid untuk berundur sebagai Pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Presiden parti. – HELMY ABD RAHMA