Yang salah tetap salah, kata MB

Yang salah tetap salah, kata MB

KUANTAN: Sesi perbahasan pada Mesyuarat Kedua Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri (Dun) Pahang Ke-14 di Wisma Sri Pahang di sini hari ini, panas seketika apabila berlaku ‘pertikaman lidah’ antara YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Dun (Adun) Tras, Chow Yu Hui (DAP).

Ia susulan dakwaan Chow kononnya tindakan kerajaan negeri melaksanakan operasi membanteras penerokaan haram, termasuk memusnahkan kebun durian Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub, sebagai tidak berperikemanusiaan.

Wan Rosdy menegaskan, kerajaan negeri tidak pernah menganiayai pekebun terbabit, sebaliknya operasi berkenaan adalah antara langkah pemuliharaan alam sekitar.

“Durian itu ditanam di HSK dan kita tak boleh tunggu hingga habis musim sebab durian ditanam berfasa-fasa. Ini bukan penganiayaan, malah sepatutnya pekebun Musang King ini berterima kasih kepada kerajaan negeri kerana secara tidak langsung membenarkan mereka menanam selama 22 tahun, tanpa membayar cukai dan apa-apa. Kalau itu dikatakan penganiayaan, tak tepat sama sekali.

“Malah yang dibuat ini pun bukan untuk cari makan tapi untuk tujuan komersial. Kalau mereka tanam, dapat buah durian, jual durian, balik beli beras, itu baru boleh kata cari makan,” katanya.

Tambah beliau, kerajaan negeri kini amat serius menangani isu pencerobohan tanah terutama di HSK, lebih-lebih lagi ia menimbulkan persepsi negatif kepada negeri ini.

“Orang bercakap di mana-mana… di Kuala Lumpur (contohnya), kalau nak tanam durian secara haram, pergi ke Pahang, kalau nak melombong secara haram, pergi ke Pahang, kalau nak curi pasir, pergi ke Pahang.

“Ini menjejaskan imej Kerajaan Pahang yang ada pada hari ini seolah-olah kita sengaja membiarkan perkara itu berlaku.

“Hutan Simpan memang tidak boleh diteroka. Tak kiralah 22 tahun, setahun ke, dua tahun ia tetap haram,” tegasnya.

Terdahulu, Chow mendakwa tindakan kerajaan negeri melaksanakan operasi itu menganiaya pekebun terbabit kerana hasil kebun itu satu-satunya sumber pendapatan mereka. – HELMY ABD RAHMAN