KUANTAN: Yayasan Al-Sultan Abdullah (YASA) melalui program Akademi Menara Gading (AMG) mencapai matlamat dalam membantu pelajar yang kurang bernasib baik bagi mencapai kecemerlangan dalam pendidikan.
KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, bertitah ini kerana AMG adalah program utama YASA yang mendapat kerjasama sepenuhnya daripada Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) sejak penubuhannya pada 11 September 1996.
“Alhamdulillah, program AMG terbukti mampu melahirkan beribu graduan yang berjaya dalam pelbagai bidang kerjaya, seterusnya, dapat membantu ibu bapa dan keluarga mereka untuk hidup dengan lebih selesa.
“Saya secara peribadi ingin menzahirkan ucapan setinggi-tinggi tahniah, khususnya kepada UKM dan beberapa pihak lain yang bekerjasama dengan YASA sejak sekian lama dalam merealisasikan kecemerlangan akademi ini,” titahnya.
Baginda bertitah demikian sempena Majlis Pelancaran Buku Aspirasi Menara Gading dan Majlis Penutup Access Leadership Program YASA & US Embassy Kuala Lumpur.
Pada majlis itu turut berlangsung pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) di antara YASA dan Universiti Malaysia Pahang (UMP). Hadir sama, Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail.
Baginda kemudiannya bertitah agar semoga program itu sentiasa mendapat keberkatan dan rahmat daripada Allah SWT.
“Pada kesempatan ini juga, saya ingin berpesan kepada semua peserta AMG yang dikasihi, jika anda mahu melihat masa depan sesebuah negara, lihatlah pemuda dan pemudi pada hari ini.
“Oleh itu, anda tidak boleh mengejar kecemerlangan akademik semata-mata tetapi perlu diterapkan dengan nilai murni supaya menjadi insan kamil,” titahnya. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN