Oleh Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
Gambar/video Mustaffa Kamal
KUANTAN: Seramai 61,721 murid, pelajar dan penuntut anak Pahang bakal mendapat manfaat menerusi sumbangan pendidikan Yayasan Pahang (YP) untuk tahun ini yang berjumlah RM52 juta.
Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, sumbangan itu dipecahkan kepada dua peringkat iaitu sekolah dan pengajian tinggi.
“Di peringkat sekolah, sebanyak RM18.8 juta untuk Biasiswa Sekolah Menengah (BSM) membabitkan 31,751 penerima, Biasiswa Sekolah Rendah (BSR) sebanyak RM6.3 juta (21,002 penerima) dan RM3.6 juta lagi untuk Program Peningkatan Kualiti Pendidikan.
“Untuk peringkat pengajian tinggi pula, sebanyak RM17.2 juta untuk pinjaman (2,633 penerima), RM3.1 untuk biasiswa (335 penerima) dan RM3 juta untuk Geran Bantuan Awal ke IPT (institusi pengajian tinggi) membabitkan 6,000 penerima,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika Majlis Sumbangan Pendidikan YP Untuk Anak Pahang di Wisma Sri Pahang di sini, hari ini.
Majlis yang disaksikan barisan EXCO Kerajaan Pahang itu turut dihadiri Pengurus Besar YP, Dato’ Mahmud Mohd Nawawi.
Mengulas lanjut, Wan Rosdy berkata, setiap tahun, biasiswa YP menjadi penyumbang utama kepada bantuan pendidikan di negeri ini berbanding tajaan pihak lain.
“Istimewanya biasiswa ini, permohonan hanya dibuat sekali dan akan berterusan sehingga tamat persekolahan dalam satu-satu peringkat pengajian,” katanya.
Selain itu, katanya, YP membantu murid dan pelajar meningkatkan kualiti pendidikan di sekolah menerusi pelbagai program akademik antaranya, Program Baca Cepat Kawanku (BCK) bagi membantu murid yang tidak boleh membaca pada awal Tahun 1 lagi selain Program Peningkatan Pendidikan Khas untuk membantu murid berkeperluan khas (MBK).
“Bermula dengan peruntukan hanya RM1.5 juta pada 1983, kini YP berjaya mendapatkan sumber pendapatan sendiri untuk diagihkan kepada anak Pahang.
“Sehingga kini, alhamdulillah, Yayasan Pahang sudah membelanjakan RM1.34 billion yang memberi manfaat kepada 1.7 juta anak Pahang dalam pelbagai peringkat pendidikan,” katanya.