Yayasan Pahang susun program untuk komuniti WAJ

Yayasan Pahang susun program untuk komuniti WAJ

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Yayasan Pahang (YP) merancang membeli dua bangunan bernilai RM1.5 juta di lorong Wong Ah Jang (WAJ), di sini, bagi menjayakan projek komuniti dan pembangunan modal insan  golongan di lorong terbabit.

Ketua Pegawai Operasi YP, Abdul Razak Abu Musa Saari, berkata pihaknya kini dalam proses perundingan dengan pihak berkaitan untuk membeli bangunan yang telah dikenal pasti. 

“Tujuan kita membeli bangunan terbabit untuk mengubah nasib dan meningkatkan taraf hidup komuniti lorong Wong Ah Jang,” katanya, di sini, kelmarin.

Abdul Razak berkata, YP turut memberi fokus kepada program pendidikan komuniti lorong Wong Ah Jang di samping memperluaskan program Baca Cepat Kawanku (BCK).

Katanya, yayasan juga akan menyediakan tadika tahfiz dan menyediakan kemudahan terbaik kepada anak golongan terbabit selepas urusan memiliki bangunan selesai sepenuhnya.

“Lima puluh anak komuniti lorong Wong Ah Jang dan Jalan Pasar Besar turut akan mendapat manfaat daripada program yang sedang diaturkan,” katanya. 

Abdul Razak berkata, program terbabit mendapat kerjasama kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) serta Pejabat Pelajaran Daerah Kuantan.