EMPAT legenda bola sepak negara, Yunus Alif, Zainal Abidin Hassan, Dollah Salleh dan Ahmad Yusoff kini bergelar Dato’ selepas dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) bersempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-63 KDYMM Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Dato’ Hamidin Mohd Amin bersama ahli jawatankuasa eksekutif dan seluruh warga kerja FAM mengucapkan tahniah kepada empat bekas pemain bola sepak kebangsaan itu.
Katanya, jasa dan pengorbanan Zainal Abidin, Dollah, Ahmad Yusof, dan Yunus kepada bola sepak Malaysia pastinya akan terus dihargai dan tetap dikenang.
Zainal Abidin, 60, adalah seorang daripada tujuh legenda bola sepak negara yang berada dalam Kelab Abad FIFA atau FIFA Century Club (untuk pemain yang mencatat 100 penampilan antarabangsa ke atas) menerusi 116 caps bersama skuad Harimau Malaya.
Dollah, 59, pula selain beraksi sebagai penyerang Harimau Malaya sekitar era 1980-an dan 1990-an, turut pernah menjadi ketua jurulatih kebangsaan pada 2014 hingga 2015 dengan membawa Malaysia muncul naib juara Piala Suzuki AFF 2014.
Ahmad, 62, sentiasa akan diingat dan dikenang sebagai kapten pasukan ketika Malaysia meraih pingat emas Sukan SEA 1989 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Sementara itu, Yunus, 64, pemain kebangsaan di penghujung era 1970-an hingga 1980-an cukup sinonim namanya di pentas bola sepak negara bersama abangnya, Dato’ Abdah Alif.
Pengurniaan Darjah Kebesaran dan Pingat Pahang itu disempurnakan oleh KDYMM Pemangku Raja Pahang, Tengku Mahkota Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Abu Bakar, Pekan, hari ini. – MUHAMMAD IZZ ZAHIN