SHAH ALAM: “Saya telah diaibkan, telah dimalukan malah telah ditelanjangkan dengan pelbagai tanggapan dan telah ‘dihukum’ terlebih dahulu oleh ‘the court of public opinion’.
“Tetapi, alhamdulillah, hari ini menyaksikan segala-galanya bahawa perundangan telah ditegakkan demi kebenaran,” demikian tegasnya Pengerusi Barisan Nasional merangkap Presiden UMNO Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Sehubungan itu beliau amat yakin bahawa apa yang telah dipertuduhkan ke atasnya adalah mengikut lunas undang-undang.
“Dari hari pertama hingga keputusan hari ini saya amat yakin bahawa perlaksanaan perundangan telah diteliti dan diperincikan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dato’ Mohd Yazid Mustafa .
“Saya merasakan dan biarpun harus reda dengan jihad yang telah ditimpakan ke atas saya namun istiqamah dan amat yakin bahawa tuduhan-tuduhan itu tidak pernah dilakukan, amat yakin selaku Pengerusi BN dan Presiden UMNO bahawa ini adalah kejayaan dan perjuangan BN dan UMNO,” katanya pada sidang media di Mahkamah Tinggi Shah Alam, hari ini.
Dalam pada itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk menzahirkan penghargaan kepada barisan peguamnya, ahli keluarga, kepimpinan UMNO serta semua penyokongnya.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pasukan peguam-peguam yang amat profesional dan cemerlang dalam mahkamah dan juga seluruh ahli keluarga yang sentiasa mendoakan keadilan yang telah ditetapkan ini.
“Saya tidak akan pernah lupa pada kawan yang tidak jemu untuk bersama-sama di mahkamah ini yang datang dari jauh malah sejauh Sabah ada yang hadir ke sini.
“Terima kasih juga pada Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohamad Hasan; Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, Ketua Pemuda UMNO, Dato’ Dr Asyraf Wajdi Dusuki dan Pengerusi BN Comms, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah,” ujarnya.
Terdahulu, Mahkamah Tinggi, di sini, melepas dan membebaskan bekas Ahmad Zahid daripada 40 pertuduhan rasuah berhubung Sistem Visa Luar Negara (VLN), selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadapnya. – UMNO Online