Pekan- 8 Mac 2024 (FIKRAH PAHANG)- Kadar bayaran zakat fitrah di Pahang bagi tahun ini kekal RM7 seorang selepas diperkenan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Riβayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) Dato’ Ahmad Hairi Hussain, buat pertama kali umat Islam yang berkemampuan di negeri ini diwajibkan menunaikan zakat fitrah mengikut harga beras digunakan iaitu RM14 bagi beras wangi dan RM21 bagi beras Basmathi atau seumpamanya.
“Pada tahun lepas kita hanya menggalakkan umat Islam berkemampuan membayar zakat fitrah mengikut jenis dan harga beras yang sering mereka gunakan tetapi berbeza dengan tahun ini apabila kita mewajibkan.”katanya dalam sidang media Kadar Zakat Fitrah Pahang Tahun 1445 Hijrah/2024 dipejabatnya petang tadi.
Katanya lagi, seramai 918 amil telah ditauliahkan bagi urusan kutipan zakat fitrah tahun ini dan umat Islam di Pahang dinasihatkan membayar zakat fitrah mereka melalui amil yang bertauliah. Mereka juga boleh pembayaran zakat fitrah menggunakan transaksi atas talian menerusi ezakat.muip.gov.my dan aplikasi QR pay Bank Muamalat
Sementara itu katanya, MUIP akan mengagihkan bantuan lebih RM20.281 juta kepada 38,965 penerima sepanjang Ramadan manakala lebih RM5.247 juta diberikan kepada 11,550 ketua isi rumah golongan asnaf dan fakir miskin yang merupakan penerima zakat bulanan.
“Kita juga memberi sumbangan pengimarahan Ihya Ramadan berjumlah RM4.28 juta kepada 686 masjid dan surau manakala RM292,500 diperuntukkan kepada 149 buah maahad tahfiz, madrasah dan pondok berdaftar di Pahang,” katanya.
Oleh Kabhi Ismail