Zulkefli bawa balik ilmu unik dari Australia

Zulkefli bawa balik ilmu unik dari Australia

Oleh Mohd Imran Izzad 

fikrahpahang@fikrahpahang.com.my 

Pic Mohd Imran Izzad 

KUANTAN: Dua puluh senjata diasah menjadi tajam berkilat hanya kira-kira sejam. 

Itu ilmu istimewa Zulkefli Yusoff, 55, yang mahir mengasah senjata tajam hasil pengalaman tiga tahun bertugas sebagai tukang sembelih kambing di Australia, antara 2007 dan 2010. 

KUANTAN..Zulkefli Yusoff mengasah pisau menggunakan mesin pengasah.

Katanya, ketika bertugas di pusat sembelihan swasta di negara kangaru itu, setiap hari dia perlu menyembelih kira-kira dua ribu kampung dan pisau hanya perlu diasah sebanyak dua kali sahaja.  

“Mengasah pisau, parang dan kapak tidak terlalu susah jika kita tahu teknik yang betul. Mesin mengasah hanya mempercepatkan proses. 

KUANTAN..Zulkefli Yusoff belajar mengasah pisau ketika tugas sebagai penyembelih kambing di Australia selama tiga tahun.

“Saya hanya memerlukan kira-kira 10 minit untuk mengasah tiga senjata iaitu pisau, parang dan kapak. Tapi, bergantung kepada tahap kerosakan pada bahagian matanya,” katanya.

Dia yang menetap di perumahan Permatang Badak, berkata sudut yang tidak betul ketika mengasah menyebabkan pisau, parang, kapak dan keris yang diasah tidak akan tajam walaupun kelihatan berkilat.

KUANTAN..Zulkefli Yusoff memiliki kemahiran 
mengasah pisau, kapak dan parang  pelbagai saiz.

Zulkefli berkata, minat dan darah seni dalam diri perlu ada pada individu yang ingin mempelajari ilmu mengasah dan membaiki senjata tajam.

Beliau berkata, ujian ketajaman pisau dan parang selepas diasah boleh dilakukan dengan cara memotong runcing kertas, potongan dapat dilakukan dengan mudah serta lancar.

KUANTAN..ujian ketajaman pisau dan parang selepas diasah boleh dilakukan dengan cara memotong runcing kertas.

“Setiap minggu saya mengasah pisau, parang dan kapak milik penduduk. 

“Ada juga beberapa rakan luar daerah yang jadi tukang sembelih menghantar senjata tajam mereka untuk diasah,” katanya. 

“Permintaan bertambah dua hingga empat kali ganda pada musim perayaan terutama menjelang Aidiladha,” katanya yang berasal dari Sungai Besar, Selangor.

Zulkefli berkata, dia sedia berkongsi ilmu unik itu dengan sesiapa saja.