Helmy Abd Rahman
helmy@fikrahpahang.com.my
KUANTAN: Kelab Penyokong Barisan Nasional (BN) Pahang menjunjung titah dan menyatakan taat setia kepada KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah serta YAB Menteri Besar, Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail berkaitan isu Ordinan Darurat 2021.
Pengerusinya, Dato’ Sohaimi Mohd Shah berkata, berhubung hal itu, Baginda Tuanku secara jelas bertindak atas budi bicara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
![](https://fikrahpahang.com.my/wp-content/uploads/2021/08/200E3FF8-A0E6-47CA-A489-C45C508224D0-862x1024.jpeg)
Dato’ Haji Md.Sohaimi Mohamed Shah
“Maka, apa juga ulasan dikeluarkan pihak tertentu termasuk oleh jemaah menteri Kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang menyanggahi Baginda, bukan sahaja tindakan tidak berperlembagaan, malah biadap.
“Ini termasuklah terkini oleh Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Dato’ Sri Zuraida Kamaruddin beberapa hari lalu,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
Dalam rancangan bual bicara bahasa Inggeris, Consider This di Astro Awani beberapa hari lalu, Zuraida dilaporkan berkata, kenyataan dikeluarkan Istana Negara berhubung cadangan pembatalan Ordinan Darurat pada 29 Julai lalu adalah tidak tidak wajar.
Beliau juga berkata, Yang di-Pertuan Agong yang perlu menurut nasihat kabinet dalam kebanyakan perkara, boleh mendapatkan penjelasan daripada kabinet terlebih dahulu sebelum mengeluarkan titah.
Mengulas lanjut, Sohaimi berkata, atas kebiadaban itu, tindakan sewajarnya hendaklah diambil supaya mereka terbabit diberi pengajaran untuk sentiasa akur kepada prinsip kesopanan dan kesusilaan seperti termaktub dalam Rukun Negara.
“Sehubungan itu, Kelab Penyokong Kerajaan BN Pahang menyatakan sokongan tidak berbelah-bahagi kepada YAB Menteri Besar Dato’ Sri Wan Rosdy Wan Ismail atas kepemimpinan serta kenyataan media yang dikeluarkannya sebelum ini berkaitan isu Ordinan Darurat 2021.
“Sokongan ini tidak lain demi memastikan kepemimpinannya yang cemerlang selama ini, dapat berjalan lancar, lebih-lebih lagi kepemimpinannya berteraskan keutamaan kepada kebajikan serta usaha menangani kemaslahatan rakyat teruatamanya dalam tempoh rakyat sedang berdepan penularan COVID-19 ketika ini,” katanya.