Kuantan, 3 September 2025 – Seramai 64 pemain golf remaja dari seluruh daerah Pahang menguji keupayaan mereka pada Kejohanan Golf Remaja Pahang Piala YAM Tengku Arif Bendahara Pahang 2025 di Mahkota Golf & Country Club (MGCC), Jalan Sungai Lembing, di sini.
Kejohanan sulung itu menyaksikan Muhammad Afiq Darwisy muncul juara keseluruhan kategori lelaki bawah 18 tahun dengan catatan 81 pukulan, manakala Farisha Adila menjuarai kategori perempuan.

Bagi kategori bawah 14 tahun, Julius Lee Wei Xuan dinobatkan sebagai juara lelaki manakala Nur Mysara mengetuai kategori perempuan. Sementara itu, Muhamad Harith Luqman menjuarai kategori lelaki bawah 11 tahun, manakala Pavithirah mengekalkan kedudukan terbaik dalam kategori perempuan.

Menurut wakil Unit Pembangunan Bakat Murid (Sukan), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang, Abdul Rahman Abdullah, kejohanan sulung ini anjuran bersama syarikat swasta MF Niaga Sdn Bhd itu bertujuan mencungkil dan membangunkan bakat baharu dalam kalangan pemain muda memandangkan sukan berprestij ini semakin popular di kalangan masyarakat Malaysia.
“Program pembangunan sukan ini sudah ada, cuma ia akan diperluas bagi menyokong perkembangan sukan golf di negeri ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis penyampaian hadiah.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran YAM Tengku Arif Bendahara, Tengku Muhammad Iskandar Ri’ayatuddin Shah ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mencetuskan idea serta berkenan menyumbang bagi menjayakan kejohanan tersebut
Oleh Zulkepli Osman