Pahang sasar lebih 750,000 individu untuk diberikan dos penggalak

Pahang sasar lebih 750,000 individu untuk diberikan dos penggalak

Oleh Muhammad Izz Zahin

fikrahpahang@gmail.com

KUANTAN: Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang meletakkan sasaran 756,994 individu di Pahang bakal menerima suntikan dos penggalak vaksin Covid-19.

Pengarahnya, Dato’ Dr Nor Azimi Yunus berkata, daripada jumlah itu, 541,348 individu membabitkan kumpulan komorbiditi, 160,178 (warga emas) dan 55,468 individu (petugas barisan hadapan).

Sehingga ini, katanya, 18,489 individu sudah menerima dos penggalak dan dijangka bertambah dari semasa ke semasa.

“Dos penggalak yang akan diterima individu adalah Pfizer. Bagi penerima vaksin Pfizer, mereka akan menerima dos penggalak selepas enam bulan dari tarikh suntikan dos kedua manakala penerima Sinovac pula selepas tiga bulan dari tarikh dos kedua,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas Majlis Mesra Bersama Media JKN Pahang, di sini, hari ini.

Mengenai situasi Covid-19 di Pahang sehingga semalam, katanya, 78,819 kes dilaporkan dengan purata 280 hingga 350 kes sehari.

Katanya, daripada jumlah itu, 75,138 kes sembuh, 3,207 kes aktif dan 741 kes kematian direkodkan.

“Individu 18 hingga 59 tahun merekodkan kes tertinggi iaitu 51,236 kes, 0-11 tahun (14,766kes), 12-17 tahun (6,851 kes) dan 60 tahun ke atas (5,966 kes),” katanya.